Aplikasi Penggunaan Perisian Myteach dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Keberkesanan pendidikan abad ke-21 bukan sekadar tertumpu pada prasarana dan susun atur bilik darjah tetapi faktor utama kejayaan sebenar bergantung kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid bukan berpusatkan guru. Guru perlu menjadi pemudahcara kepada murid dalam sesuatu aktiviti di dalam kelas. Dasar global langit terbuka di abad ini menjadikan Malaysia mengalami kemajuan yang dramatik dalam bidang teknologi dan penyebaran maklumat. Jelas di sini, penggunaan komputer, tablet, telefon pintar merupakan alat penting untuk kelas abad ke-21 dan sangat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran.


Myteach Sdn Bhd telah ditubuhkan pada tahun 2009 dengan tujuan untuk membangunkan perisian pendidikan berkualiti bagi meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Ramai pelajar telah dapat meningkatkan kefahaman mereka tentang kesusasteraan bahasa Melayu dan perisian ini turut bertujuan untuk memartabatkan sastera bahasa Melayu di semua peringkat. Tagline perisian ini ialah 360 pembelajaran atau 360 learning yang lebih fokus visinya kepada kanak-kanak di dunia supaya mempunyai akses kepada peranti ini. Myteach juga telah dianugerahkan  Status MSC Malaysia sejak tahun 2010, yang bermakna Myteach telah mendapat pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia dan merupakan tanda perkhidmatan dan pencapaian bertaraf dunia. 


Analisis selepas perlaksanaan



Pada sesi permulaan, guru mengimbas kembali tajuk yang telah dipelajari dalam puisi moden. Guru membuat sesi soal jawab kepada pelajar berkenaan dengan 4 tajuk puisi moden yang telah dipelajari iaitu Sajak Gembala Kuda, Sajak Aku Membaca Lagi, Sajak www.sibermerdeka.com.my dan Sajak Gelanggang yang merupakan silibus tingkatan 4.


Pelajar ini merupakan pelajar tingkatan 4, iaitu kelas 4S Ren. Bilangan pelajar seramai 55 orang. Semua pelajar terlibat secara menyeluruh dalam sesi pembelajaran kali ini. Tajuk yang akan diajar oleh guru ialah sajak bertajuk Aku Membaca Lagi yang merupakan silibus komsas tingkatan 4.




Guru memberitahu dahulu buku rujukan yang akan digunakan sepanjang sesi pembelajaran kali ini.








Buku rujukan OMG M 3.O 
bahasa Melayu Tingkatan 4










Buku rujukan yang digunakan ialah buku teks Jaket Kulit Kijang dari Istanbul yang merupakan buku teks komsas tingkatan 4. Selain itu, guru juga menggunakan buku rujukan OMG iaitu buku rujukan tingkatan 4 yang mana di dalam buku tersebut juga terdapat aplikasi myteach yang merupakan perisian yang digunakan oleh guru untuk sesi pembelajaran kali ini. Oleh itu, pelajar akan lebih mudah untuk memahami sesi pembelajaran kerana hanya perlu merujuk kepada buku rujukan tersebut sahaja. 



Bagi memulakan set induksi, saya akan menggunakan Internet, iaitu menggunakan aplikasi YouTube untuk menunjukkan satu video movie maker. Video tersebut merupakan video movie maker yang telah saya edit, kemudian saya upload ke dalam YouTube. 



Video editing adalah suatu proses penambahan teks/judul, variasi, transisi, effect, lagu, sound effect, mengubah atau mengedit warna dan sebagainya.

Saya menggunakan video movie maker yang diambil daripada playstore melalui perisian YouCut - Video Editor yang telah pun dibuat dan diedit oleh saya dengan mengambil beberapa kepingan gambar yang dicari di Internet dan bersesuaian dengan bait-bait indah dalam setiap rangkap sajak ‘Aku Membaca lagi’ serta dimasukkan pula muzik bernada melankolik serta sound effect ombak dan kicauan burung untuk mendapatkan video yang diinginkan


Saya juga mengedit video tersebut dengan memasukkan deklamasi sajak spontan daripada cikgu Ashiq serta muzik bernada melankolik iaitu sad violin














Perisian Movie Maker menggunakan perisian You-Cut Video Editor yang seterusnya di upload ke dalam YouTube

Semua kepingan gambar yang digabungkan bersama muzik bernada melankolik dan dimasukkan deklamasi sajak oleh Cikgu Ashiq serta sound effect burung dan bunyi ombak juga turut dimasukkan, maka terhasillah satu video yang menggunakan perisianYouCut - Video Editor dan berdurasi 1 minit 54 saat. Setelah siap hasilkan video ini, baru saya upload ke dalam YouTube. 

Saya turut membuat penambahan teks/judul dan mengedit tulisan tersebut dengan beberapa gabungan warna yang bersesuaian dalam perisian YouCut - Video Editor.

Pelajar dilihat memahami dan menghayati bait-bait indah yang terdapat dalam setiap rangkap sajak ‘Aku Membaca Lagi’. Muzik bernada melankolik telah membantu pelajar dan membuatkan mereka dapat menghayati maksud tersirat setiap rangkap sajak tersebut.

Aplikasi MyTeach pula akan digunakan oleh guru. Perisian ini sememangnya digunakan untuk mengajar komsas dan telah digunakan sepenuhnya oleh guru-guru Sekolah Menengah Persendirian Chonghwa bagi memenuhi silibus komsas bahasa Melayu di sekolah ini.



Aplikasi ini menggunakan teknik hyperlink. Hyperlink merupakan suatu cara untuk menghubungkan suatu bahagian tertentu di dalam slide, dokumen, program, atau perisian dengan bahagian yang lain pada bidang tersebut. Semasa hyperlink di klik maka kita akan diarahkan ke halaman lainnya sehingga dengan adanya hyperlink ini akan dapat memudahkan kita untuk membuka suatu dokumen yang kita inginkan.

Setiap halaman yang ingin dibuka mengikut subtopik boleh dipilih daripada unit 1 hingga unit 8. Setiap halaman yang dibuka akan ada sound effect yang sememangnya sudah diselitkan ke dalam Myteach ini.


Pelajar bertepuk tangan memberi sokongan kepada wakil pelajar yang akan mendeklamasikan sajak di hadapan kelas.  


Seorang wakil pelajar mendeklamasikan sajak dengan merujuk kepada buku teks tingkatan 4 Jaket Kulit Kijang dari Istanbul. Pelajar lain akan merujuk projektor slide di hadapan sehingga wakil pelajar tersebut habis mendeklamasikan sajak ‘Aku Membaca Lagi’.

Guru menerangkan mengenai tema sajak iaitu penggunaan bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan. 

Guru meminta pelajar menyalin maksud perkataan ke dalam buku teks Jaket Kulit Kijang. Guru telah menambah maksud perkataan yang tidak difahami ke dalam slide.

Guru menerangkan maksud tersirat setiap rangkap daripada rangkap 1 hingga rangkap 5. Pelajar berasa tertarik dengan perisian Myteach yang dimasukkan gambar yang boleh bergerak dan gambar tersebut boleh membantu pelajar untuk memahami maksud rangkap tersebut. 

Perisian Myteach yang diselitkan dengan gambar bergerak ini juga memudahkan guru untuk membuat penerangan dengan lebih lanjut tentang rangkap tersebut. Guru juga boleh mendapat idea untuk membuat penerangan daripada alat bantu mengajar tersebut.

Guru meminta pelajar untuk menggariskan beberapa isi penting ke dalam buku kerja OMG tingkatan 4.

Pelajar menggunakan highlighter pen untuk menggariskan isi penting yang terdapat dalam setiap rangkap. 

Guru menerangkan mengenai tema sajak Aku Membaca Lagi iaitu penggunaan bahasa Melayu yang semakin dipinggirkan. Ini bermaksud bahasa Melayu sudah semakin tidak digunakan lagi malah dipinggirkan oleh bangsa Melayu itu sendiri. 

Guru menerangkan mengenai persoalan yang terdapat dalam sajak dan membuat sesi soal jawab kepada pelajar untuk merangsang minda pelajar terhadap pembelajaran yang telah diajar. 


Kelebihan serta Keberkesanan Menggunakan Teknologi dalam Pendidikan 
Pelajar berasa sangat teruja untuk mengetahui video movie maker yang telah di upload ke dalam You Tube. Movie maker yang menggunakan perisian YouCut - Video Editor pula sebagai permulaan set induksi yang digunakan oleh guru dengan adanya muzik bernada melankolik membuatkan pelajar dapat menghayati setiap bait-bait indah yang terdapat dalam setiap rangkap sekaligus memahami maksud tersirat yang terdapat dalam setiap rangkap. Muzik yang digunakan juga dapat menarik perhatian pelajar untuk mengetahui dan memahami sepenuhnya terhadap apa yang diajar oleh guru.
Gambar beserta sound effect yang dimasukkan dapat menarik perhatian pelajar untuk mengetahui maksud tersirat sajak tersebut. Persembahan sajak yang dideklamasikan oleh cikgu Ashiq turut membantu pelajar memahami maksud tersirat sajak tersebut dan setiap intonasi yang dilontarkan juga terkesan dalam hati para pelajar.
Pelajar juga memberi respon yang sangat positif dan dapat memberi kerjasama yang baik terhadap pembelajaran yang diajar. Pelajar lebih fokus terhadap pembelajaran kerana alat bantuan mengajar yang digunakan iaitu perisian movie maker dan juga perisian Myteach ini mampu menarik perhatian para pelajar untuk memahami topik yang diajar oleh guru. 

Kekuatan Myteach
Kekuatan atau kelebihan yang terdapat dalam aplikasi Myteach ini termasuklah perisian Myteach ini menggunakan teknik hyperlink bagi memudahkan pengguna untuk membuka setiap subtopik yang berkaitan dengan komsas tersebut.

Fungsi hyperlink adalah untuk memudahkan pembaca bagi menjelajahi pelbagai maklumat yang berkaitan dan berada dalam perisian tersebut. Hyperlink merupakan suatu fungsi dalam HTML (Hyper Text Markup Language) yang memberikan pembaca jalan pintas  untuk menuju kepada maklumat yang lain dan berada dalam halaman yang berbeza mengikut subtopik yang disenaraikan.
Perisian Myteach ini didapati menggunakan custom animation untuk menggerakkan gambar supaya nampak lebih menarik. Pelajar akan berminat terhadap topik yang dipelajari kerana alat bantu mengajar iaitu gambar yang bergerak yang digunakan membolehkan pelajar lebih memahami terhadap topik yang dipelajari serta memahami lebih mendalam maksud tersirat setiap rangkap. 
Penggunaan hyperlink berbentuk simbol turut memudahkan guru untuk masuk ke halaman yang diingini. Simbol yang berbentuk rumah menunjukkan simbol untuk ke halaman subtopik setiap tajuk. Simbol berbentuk suara merupakan simbol sound effect yang digunakan dalam perisian ini. Simbol tanda arrow juga turut memudahkan guru untuk pergi ke halaman berikutnya atau halaman sebelumnya. 

Kelemahan Penggunaan Teknologi dalam Pendidikan
Secara keseluruhannya, di samping kebaikan, perisian Myteach juga turut terdapat beberapa kelemahan.

Perisian Myteach ini telah pun disiapkan dengan menggunakan teknik hyperlink, custom animation dan sebagainya sebelum digunakan secara meluas oleh guru-guru di sekolah. Namun, jika guru itu sendiri perlu menambah teknik-teknik tertentu ke dalam perisian multimedia yang sedia ada, ini memerlukan kepakaran dan sudah tentu mengambil masa yang lama untuk menguasai teknik berkenaan.

Hasil pemerhatian didapati kelemahan yang pertama yang boleh dikatakan ialah penggunaan hyperlink dan custom animation bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Guru perlu mempunyai kemahiran dalam mengendalikan bahan multimedia tersebut. Bagi guru yang kurang mahir, mereka akan menghadapi masalah untuk menggunakan bahan multimedia tersebut sebagai bahan bantu mengajar mereka. Guru perlu membuat kajian dan mencari maklumat bagi memahirkan diri menguasai kemahiran tersebut bertujuan untuk mengendalikan perisian multimedia dengan baik agar proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.


Kelemahan seterusnya, masa yang digunakan untuk menguasai kemahiran tersebut juga agak lama dan guru terpaksa meluangkan masa yang panjang bagi menyiapkan perisian multimedia tersebut berbanding dengan alat bantu mengajar yang lain. Keadaan ini memberi kesukaran kepada guru-guru kerana memerlukan penelitian dan kecekapan bagi memastikan perisian multimedia tersebut dapat diaplikasikan pada masa yang ditetapkan untuk didedahkan kepada pelajar.


Kelemahan yang ketiga, perisian ini sepenuhnya perlu menggunakan alat bantu mengajar iaitu komputer. Sekiranya komputer rosak dan tidak dapat digunakan, ini bermakna penggunaan perisian multimedia tersebut juga tidak dapat digunakan pada hari tersebut. Keadaan ini menyebabkan guru perlu membuat persediaan alat bantu mengajar yang lain sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.



Kelemahan yang berikutnya pula, sekiranya guru ingin menggunakan perisian You Tube sama ada ingin menunjukkan video pembelajaran atau apa sahaja video yang berkaitan dengan sesuatu topik, guru tersebut perlu memastikan penggunaan Internet dalam keadaan yang baik. Jika tidak, perisian You Tube tersebut tidak akan dapat dibuka dan mengganggu proses pembelajaran pada hari tersebut



Cadangan untuk Penambahbaikan

Teknologi multimedia memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Teknologi multimedia adalah satu cara komunikasi yang bukan sahaja dapat menjadikan sesuatu persembahan lebih menarik malahan dapat meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada pengguna. 

Penggunaan perisian multimedia ini memudahkan pelajar mengingati dengan lebih baik lagi sekiranya mereka mendengar, melihat dan berinteraksi dengan apa yang disampaikan kepada mereka. 

Guru seharusnya lebih bijak dalam mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran mereka agar dapat membantu murid dan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. 

Guru harus sentiasa membuat inovasi dan perubahan terhadap teknik pengajaran sedia ada supaya dapat menyampaikan sesuatu topik dengan lebih berkesan dan efektif. Guru perlu menjadi lebih kreatif dengan menggunakan alat bantuan mengajar yang pelbagai. 

Bagi menuju ke arah pembelajaran abad ke-21 yang berpusatkan murid, pada masa akan datang, setiap sekolah dalam sesuatu situasi boleh membenarkan pelajar membawa telefon pintar dan digunakan dalam kelas untuk tujuan pembelajaran serta membolehkan pelajar mencari bahan dalam Internet secara langsung bertujuan untuk mendapatkan maklumat atau menjawab tugasan yang diarahkan oleh guru. 

Penggunaan komputer juga harus diperluaskan lagi di sekolah-sekolah untuk tujuan pembelajaran bagi memudahkan pelajar mendapat maklumat serta menggalakkan pelajar itu sendiri membuat pembentangan menggunakan  perisian multimedia bagi meningkatkan daya kreativiti para pelajar.

Penggunaan Internet atau wifi di sekolah harus diwujudkan dan membenarkan pelajar menggunakannya hanya bertujuan untuk pembelajaran tetapi penggunaan Internet tersebut perlu dikawal supaya tidak disalahgunakan oleh para pelajar. 













Ulasan

  1. Cara mengajar ini amat menarik! Semua murid di kelas belajar dalam keadaan yang seronok!

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Penggunaan Aplikasi Kahoot dalam Pembelajaran di bilik darjah

Quizizz dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (Pdp)